TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan kerana melakukan serangan seksual terhadap anak saudara perempuannya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan kerana melakukan serangan seksual terhadap anak saudara perempuannya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


PEKERJA butik pengantin dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh berusia 23 tahun diletakkan di bawah pengawasan polis selama satu tahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Keputusan itu dibuat Hakim Wan Azimah Yaacob selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus, jam 9.30 malam pada 5 November 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam Holey Issac.

Akhbar sebelum ini melaporkan pelajar tingkatan dua menjadi mangsa serangan seksual bapa saudaranya.

Mangsa yang berseorangan di rumah didatangi suspek manakala ahli keluarganya yang lain melawat ibu saudara mangsa yang juga isteri suspek.

Dalam kejadian itu, suspek bertindak mengambil sehelai kain dan menutup mulut anak saudaranya itu.

Suspek menolak mangsa di sofa di ruang tamu dan mengugut membunuh mangsa sekiranya dia membuat bising sebelum mencabul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 6:11 PM