MOHD Idzzuan (kanan) dan Amirah Izzati (tengah) bersama anak mereka, Idzyraf Alsheeraz. FOTO Ihsan Mohd Idzzuan Shaarani.
Mohamad Hussin


“ALHAMDULILLAH, anak dan isteri saya bertambah sihat, cuma perlu menjalani rawatan susulan bagi memastikan mereka benar-benar pulih.

“Saya kena beri lebih perhatian kepada Idzyraf Alsheeraz kerana dia mudah diserang demam atau selesema,” kata Mohd Idzzuan Shaarani, 30, bapa kepada Idzyraf Alsheeraz, 14 bulan, yang menghidap ‘biliary atresia’ atau hati tersumbat.

Bagaimanapun, ibu bayi itu, Amirah Izzati Hamidi, 28, mendermakan 30 peratus hatinya buat Idzyraf Alsheeraz dengan pembedahan dilakukan sekumpulan pakar Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Mohd Idzzuan berkata, isterinya dalam keadaan baik, namun perlu menjalani rawatan susulan setiap tiga bulan sekali, manakala anaknya perlu diperiksa setiap minggu.

“Sejak dibenarkan keluar hospital pada 23 September lalu, anak saya perlu menjalani rawatan susulan setiap minggu bagi memastikan hatinya berfungsi dengan baik.

“Idzyraf Alsheeraz juga perlu mengambil ubat setiap pagi dan petang bagi memastikan kesihatannya tidak terjejas,” katanya ditemui hari ini.

Menurutnya, ketika ini mereka jarang membawa Idzyraf Alsheeraz keluar rumah kerana bimbang mudah dijangkiti penyakit dan fokus mereka mahu memastikan bayi itu pulih sepenuhnya.

“Kami memastikan penjagaan terbaik buat Idzyraf Alsheeraz yang perlu mengambil ubat-ubatan seumur hidup berikutan tahap imunisasinya yang rendah,” katanya.

Idzyraf Alsheeraz disahkan menghidap penyakit kronik itu selepas dua minggu dilahirkan pada Jun 2018, adalah seorang daripada dua pesakit kanak-kanak yang menjalani pembedahan pemindahan hati membabitkan penderma yang masih bernyawa oleh PPUM.

Kejayaan itu dilapor Harian Metro pada 9 Ogos lalu dengan lebih 20 pakar perubatan PPUM melakar sejarah perubatan tempatan dengan kerjasama tujuh pakar dari Renji Hospital, China, berjaya melakukan pembedahan pemindahan hati pertama membabitkan Idzyraf Alsheeraz dan seorang lagi pesakit berusia 10 tahun tujuh bulan pada 6 dan 7 Ogos lalu.

Dua pesakit kanak-kanak itu adalah yang pertama menjalankan pembedahan pemindahan hati menerusi kerjasama yang termeterai melalui majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) oleh PPUM dengan Renji Hospital pada 17 April lalu.

Berita berkaitan

PPUM lakar sejarah [METROTV]

Anak hati tersumbat [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 6:12 PM