KETUA ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Malim, Luth Ishak, 34, maut selepas Mitsubishi Triton dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 315.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan. FOTO Ihsan Pembaca
KETUA ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Malim, Luth Ishak, 34, maut selepas Mitsubishi Triton dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 315.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop


KETUA ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Malim maut selepas Mitsubishi Triton dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 315.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di Tapah, hari ini.

Dalam kejadian 6.15 pagi itu, mangsa, Luth Ishak, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tiga rakannya cedera termasuk dua parah.

Kemalangan itu turut mengakibatkan pemandu lori membawa muatan telur ayam dan kekacang cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun itu dipercayai melanggar bahagian belakang lori berkenaan.

Katanya, siasatan juga mendapati ia berpunca daripada lori berkenaan yang dipercayai menukar haluan dari lorong kanan ke kiri menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda gagal dikawal.

“Akibat kemalangan itu, penumpang hadapan Mitsubishi Triton meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.

“Kesemua mangsa yang cedera dan parah dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua ARMADA Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh turut berkongsi berita sedih itu di dalam Facebook miliknya dan memuatnaik gambar beliau dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama arwah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 10:15 AM