Anggota MAQIS Kelantan menunjukkan hasil tani yang dirampas, hari ini. FOTO Ihsan Maqis.
Anggota MAQIS Kelantan menunjukkan hasil tani yang dirampas, hari ini. FOTO Ihsan Maqis.
Siti Rohana Idris


SEBANYAK 200 (kg) hasil tani dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, Tumpat, hari ini.

Barangan terbabit iaitu mangga, ubi keledek, pisang dan pelbagai jenis sosej dengan nilai RM2,000 dirampas daripada seorang peraih sebaik kenderaan ditahan pada 8.30 pagi.

Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, semua barangan itu dibawa masuk dari Thailand oleh lelaki berkenaan yang berusia 40-an.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaannya menemui semua barangan itu yang didakwanya untuk kegunaan sendiri tetapi tiada dokumen import sah.

“Ketika soal siasat, lelaki itu mendakwa tidak mengetahui perlu memiliki dokumen sah jika membeli barang berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, barangan dirampas disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Jika sabit kesalahan, pengimport boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 5:55 PM