ANGGOTA JPJ WPKL memeriksa motosikal semasa Operasi Khas Ambang Tahun Baru 2020 di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur
Khairul Najib Asarulah Khan


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) merekodkan peningkatan saman sebanyak 26 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.

Pengarah JPJ WPKL Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, sebanyak 106,861 saman dikeluarkan pihaknya sejak Januari sehingga Disember tahun ini berbanding 85,130 saman tahun lalu dalam tempoh yang sama.

Katanya, kebanyakan kesalahan yang dikesan membabitkan penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi, ubah suai nombor pendaftaran serta kesalahan lain.

“Peningkatan kes ini disebabkan kekerapan anggota JPJ menjalankan operasi di lokasi ‘hotspot’ sekitar ibu negara.

“Saman paling tinggi dicatatkan tiada lesen memandu iaitu sebanyak 6,534 bagi tahun ini berbanding 5,103 tahun lalu iaitu peningkatan 33.7 peratus berbanding kesalahan lain,” katanya semasa sidang media selepas Operasi Khas Ambang Tahun Baru 2020 di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai operasi itu, Ismail berkata, sebanyak 870 kenderaan diperiksa yang mana 352 saman dikeluarkan pihaknya atas pelbagai kesalahan.

“Selain itu, 20 motosikal disita disebabkan atas pelbagai kesalahan termasuk ia ditunggangi warga asing.

“Tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Penguasaan ini, adalah langkah bagi memastikan pengguna jalan raya patuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 12:25 AM