MOHAMAD Alamin. FOTO Malai Rosmah Tuah
MOHAMAD Alamin. FOTO Malai Rosmah Tuah
Suzianah Jiffar dan Rafiqah Dahali

BARISAN Nasional (BN) mengumumkan Ketua UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menjadi calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Mohamad, 48, pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sehingga tewas pada PRU14.

Ketika mengumumkan calon itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan memilih Mohamad itu dibuat selepas empat pusingan membuat kaji selidik.

Pemilihan Mohamad adalah keputusan UMNO Sabah yang mendapat kuasa autonomi daripada UMNO Pusat.

“Selepas membuat kaji selidik, kami mendapati Mohamad adalah calon yang menepati kriteria yang kami tetapkan selain menjadi pilihan rakyat di kawasan Kimanis.

“Kami yakin dengan calon yang dipilih yang juga anak tempatan Kimanis dan pernah menjadi wakil rakyat, selain beliau bukanlah individu yang asing di Parlimen Kimanis.

“Kami berasakan faktor itu penting bagi memastikan penerimaan positif pengundi di Kimanis terhadap calon kami yang juga penuh yakin akan keupayaan calon untuk berkolaborasi secara aktif dengan semua jentera BN serta komponen parti pada PRK ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan calon BN dan UMNO di Kimanis, hari ini.

Mohamad yang bertanding dalam PRU14 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, bagaimanapun tewas kepada calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Dr Daud Yusof.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman terbatal kerana pelanggaran peraturan pilihan raya.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 4 Januari dan hari mengundi 18 Januari.

Anifah yang mewakili BN menewaskan calon WARISAN, Datuk Karim Bujang dengan majoriti 156 undi.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, kemenangan BN pada PRK Kimanis akan memberikan impak politik yang besar khususnya kebangkitan semula UMNO di Sabah.

“Parti pembangkang lain seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) juga turut memberi sokongan kepadacalon BN,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 5:21 PM
    Digital NSTP Subscribe