MURID SRIDI Wakaf Mempelam ketika melakukan aktiviti di surau pada hari pertama persekolahan.
Hanneeyzah Bariah Baharin


KETERUJAAN 110 murid Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu di sini, memulakan hari pertama persekolahan bermula suram apabila sekolah berkenaan tidak dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik.

Tinjauan di sekolah berkenaan yang beroperasi di blok bangunan rumah kedai berhampiran Pasar Chabang Tiga di sini, mendapati murid berkenaan terpaksa berhimpun dalam kelas yang panas dan gelap kerana kurang pencahayaan berikutan tiada elektrik.

Malah, pengurusan sekolah juga menyediakan air yang ditakung dalam bekas besar untuk kegunaan murid ke tandas dan mencuci tangan di kantin sebelum makan sarapan.

Ciri keselamatan SRIDI itu yang baru berpindah daripada lokasi sebelum ini di bangunan Yayasan Islam Terengganu (YIT) Losong di sini, juga dipertikaikan ibu bapa yang bimbang keselamatan anak mereka, berikutan kedudukan sekolah berhampiran jalan raya, sungai dan Pasar Chabang Tiga.

Suasana persekolahan di sekolah itu bermula agak ‘panas’ dan tegang berikutan ibu bapa tidak berpuas hati dengan keadaan itu yang menjejaskan sesi pembelajaran dan mengundang risiko keselamatan serta keselesaan anak mereka yang belajar di situ.

Ibu, Norlidawahi Wahab, 50, berkata, dia kecewa dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang menguruskan sekolah berkenaan dan gagal menyediakan kemudahan asas sepatutnya, terutama aspek keselamatan murid.

“Lihat sahajalah keadaan sekolah ini. Hari ini murid memulakan persekolahan di lokasi baru namun tiada kemudahan elektrik dan air. Bagaimana murid mahu belajar dalam keadaan kelas yang panas kerana tiada bekalan elektrik dan air untuk ke tandas?

“Pihak JHEAT juga mengambil mudah isu keselamatan murid. Kedudukan sekolah bersebelahan Pasar Chabang Tiga menjadikan suasana pembelajaran tidak kondusif kerana faktor kebersihan,” katanya yang menghantar anak belajar di situ.

Norlidawahi yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tidak faham bagaimana JHEAT gagal menyediakan prasarana dan kemudahan asas untuk sekolah itu, sedangkan tempoh setahun untuk membuat persiapan dan persediaan sebelum berpindah lokasi sudah cukup panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 6:01 AM