ANTARA barangan yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
ANTARA barangan yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
Syaherah Mustafa


TINDAKAN dua lelaki warga Bangladesh membawa masuk pelbagai hasil pertanian dan makanan seberat 50 kilogram (kg) tanpa permit sah dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di Kota Bharu, kelmarin.

Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, dalam kejadian 8.50 pagi itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan bersama pegawai kastam ke atas dua lelaki terbabit yang kedua-duanya berusia 50-an di balai ketibaan.

Katanya, hasil pemeriksaan bagasi melalui mesin pengimbas didapati mereka membawa pelbagai jenis hasil pertanian dan makanan seperti kubis bunga, cili padi, terung, lobak putih, bunga bawang dan ikan masin.

“Nilai rampasan terbabit bernilai RM500 dan selepas disoal siasat kesemua barangan makanan ini dibawa daripada negara asal mereka untuk kegunaan sendiri.

“Hasil pertanian dan makanan terbabit dirampas kerana tiada sebarang dokumen yang sah seperti permit import dan sijil Fitosanitasi daripada negara asal.

“Tujuan larangan mengimport serta membawa masuk hasil pertanian menerusi laluan udara adalah bagi menghalang perosak yang dibawa masuk dari negara luar kerana jika terdapat bahan tercemar ia boleh memberi kesan terhadap kesihatan dan industri negara," katanya.

Sementara itu, Mohd Azam berkata, sepanjang operasi tiga bulan terakhir pada 2019, pihak MAQIS menahan 1,000 kg hasil pertanian dan makanan yang dianggarkan bernilai RM3,000 yang dibawa masuk ke Malaysia.

Katanya, kes terbabit membabitkan penumpang dari Bangladesh sebanyak empat kes, Kemboja (tiga kes) dan masing-masing satu (China dan Australia).

“Perbuatan mengimport tanpa permit yang sah daripada MAQIS adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“JIka sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS bertanggungjawab memastikan tiada penyakit dan risiko kemasukan perosak serta keselamatan makanan selain akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan hasil pertanian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 8:47 AM
Digital NSTP Subscribe