DUA kenderaan terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 70 Jalan Johor Bahru-Mersing dekat Kota Tinggi. FOTO ihsan Bomba
DUA kenderaan terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 70 Jalan Johor Bahru-Mersing dekat Kota Tinggi. FOTO ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


SEORANG lelaki maut, manakala empat lain parah selepas dua kenderaan terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 70 Jalan Johor Bahru-Mersing dekat Kota Tinggi, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Hanif Omar, 23, yang memandu Perodua Axia, maut di tempat kejadian.

Empat yang cedera termasuk dua penumpang Perodua Axia iaitu Wan Mohamad Khairul Hairy Mohd Khairul Azlan, 23, dan Muhammad Amirul Izhan Aminudin Baki, 23.

Turut cedera dua individu yang menaiki Honda CRV, Mohamad Fariduddin Samsudin, 22, dan ibunya, Robakyah Amzin, 52.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan dua kenderaan pada 3.30 pagi tadi.

Katanya, Perodua Axia dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh jalan raya.

“Akibat kejadian itu, kenderaan yang dalam perjalanan menghala ke Mersing dinaiki bersama dua yang lain terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Keadaan itu mengakibatkan kenderaan dipandu mangsa bertembung dengan Honda CRV yang dipandu lelaki menuju ke arah Johor Bahru,” katanya.

Katanya, pemandu Perodua Axia yang parah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua lagi penumpang kenderaan itu dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi bagi mendapatkan rawatan lanjut, selain pemandu Honda CRV,” katanya.

Katanya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa peka dengan keadaan keselamatan di jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Nasrul Jalil berkata, enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadia sejurus menerima panggilan pada 2.31 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 12:25 PM