Nurul Hidayah Bahaudin


TIDAK merokok di rumah. Itu alasan diberikan seorang daripada dua lelaki yang dikenakan kompaun atas kesalahan merokok di sebuah restoran di Bandar Kajang, di sini.

Operasi Bersepadu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan kesalahan merokok di sekitar daerah ini bermula jam 12 tengah hari tadi selepas peraturan berkenaan dikuatkuasakan bermula 1 Januari.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, sebanyak 40 premis makanan diperiksa dalam operasi itu.

“Tiga kompaun dikeluarkan dengan dua daripadanya membabitkan kesalahan merokok di tempat awam dan restoran. Satu lagi kompaun dikeluarkan kepada pemilik restoran yang mempamerkan papan tanda larangan merokok tidak mengikut spesifikasi.

“Alasan diberikan seorang daripada perokok yang dikompaun itu adalah kerana tidak merokok di rumah dan hanya berbuat demikian (merokok) di kawasan awam termasuklah restoran.

“Kompaun yang dikeluarkan terhadap dua jenis kesalahan itu mengikut Akta Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di sini, semalam.

DR Khalid (kanan) bersama pegawai mengeluarkan saman dalam Operasi bersepadu KKM yang dilakukan sekitar Kajang. FOTO Mahzir Mat Isa
DR Khalid (kanan) bersama pegawai mengeluarkan saman dalam Operasi bersepadu KKM yang dilakukan sekitar Kajang. FOTO Mahzir Mat Isa

Khalid berkata, sebanyak 85 kompaun dikeluarkan pihaknya dalam operasi sama dilakukan terhadap 305 premis makanan di seluruh Selangor, kelmarin.

“Daripada jumlah itu, enam individu yang dikenakan kompaun adalah remaja bawah umur termasuk berusia 15 tahun.

“Bagi individu bawah umur, mereka hanya dikenakan kompaun sebanyak RM50 dan boleh didakwa ke mahkamah sekiranya gagal membuat pembayaran,” katanya.

Katanya, operasi berterusan selama 14 hari akan dilakukan pihaknya termasuk pada waktu malam.

“Selepas itu, kami akan mengadakan operasi berkala iaitu dua kali seminggu bagi memastikan perokok mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, KKM memaklumkan akan melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan bermula 1 Januari 2020 dengan kompaun maksimum sehingga RM350.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, pemilik restoran turut bertanggungjawab memastikan tempat makan bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok atau berdepan kompaun jika gagal berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 3:32 PM