MURID SRIDI Wakaf Mempelam menjalani sesi pembelajaran seperti biasa hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
MURID SRIDI Wakaf Mempelam menjalani sesi pembelajaran seperti biasa hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KEPANTASAN pihak pengurusan menyelesaikan isu bekalan air dan elektrik membolehkan murid di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu menjalani sesi pembelajaran seperti biasa hari ini.

Penolong Kanan Pentadbiran SRIDI Wakaf Mempelam, Wan Ahmad Faizal Wan Mamat berkata, sesi persekolahan yang membabitkan 110 murid tahun satu hingga tiga berjalan lancar.

“Bekalan air dan elektrik sudah tersedia di bangunan ini. Murid juga dapat menunaikan solat Zuhur berjemaah di surau.

“Lima kelas yang disediakan untuk tahun satu hingga tiga juga dilengkapi kemudahan sepatutnya seperti kerusi dan meja,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Portal Harian Metro semalam melaporkan SRIDI Wakaf Mempelam yang beroperasi di blok bangunan rumah kedai berhampiran Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu tidak dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik.

Ia menyebabkan Pengurusan Akademik Peperiksaan dan Penilaian Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menangguhkan sesi persekolahan sehingga Ahad ini untuk menyelesaikan isu kemudahan asas di bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, selepas masalah itu tular dan mengundang situasi ‘panas’ di media sosial, ia sudah diselesaikan dalam tempoh singkat semalam.

Sehubungan itu, Wan Ahmad Faizal berharap orang ramai termasuk warganet tidak terus memperbesarkan isu SRIDI Wakaf Mempelam.

“Segala silap faham sudah diperbetulkan. Seramai 12 guru ditugaskan di sini, dan pelbagai kemudahan lain akan disediakan secara berperingkat,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Sekolah berpanas, tiada air
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 4:19 PM