GURU memberikan arahan kepada murid Tahun Satu SJKC Sin Min, Lubok Cina. FOTO Hassan Omar
GURU memberikan arahan kepada murid Tahun Satu SJKC Sin Min, Lubok Cina. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


SERAMAI 10 murid memulakan sesi pembelajaran Tahun Satu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min, Lubok Cina dekat sini hari ini, tetapi sembilan daripada mereka bukan Cina.

Hanya seorang murid Tionghua dan seorang berbangsa India dalam kelas tunggal Tahun Satu, bakinya murid Melayu.

Mereka adalah sebahagian daripada keseluruhan 52 murid Tahun Satu hingga Enam di sekolah berkenaan dengan 39 daripada mereka murid Melayu, manakala murid Cina hanya ada 10 orang dan murid India pula tiga orang.

Guru Besarnya, Goh Seng Hua berkata, aliran penurunan murid Cina di sekolah itu sudah berlanjutan sejak 10 tahun lalu berikutan penghijrahan penduduk Cina dari sekitar pekan Lubok Cina ke pekan Masjid Tanah dan Alor Gajah untuk bekerja.

“Tahun lalu ada 48 murid dan bertambah menjadi 52 pada tahun ini tetapi masih mencatatkan jumlah murid bukan Cina melebihi murid Cina.

“Seramai 10 guru tetap memberikan perkhidmatan terbaik untuk membimbing mereka berjaya dengan cemerlang dalam akademik,” katanya ketika ditemui di sekolah itu.

Murid Tahun Satu, Eric Tee Fu Ann, berkata dia tidak janggal untuk mengikuti pembelajaran dalam kelas yang dipenuhi murid Melayu kerana sudah biasa bergaul dengan anggota komuniti Melayu di sekitar pekan Lubok Cina.

“Semua murid dalam kelas ini kawan saya dan saya tidak rasa susah untuk berkawan dengan mereka asalkan mereka mahu berkawan dengan saya,” katanya.

K Kesavan berkata, dia teruja untuk mempelajari bahasa Mandarin bagi membolehkannya berjaya dalam pembelajaran, sekali gus memudahkannya bergaul dengan anggota komuniti Cina di tempat tinggalnya di pekan berkenaan.

Katanya, walaupun agak sukar untuk menguasai bahasa berkenaan, dia yakin mampu berbuat demikian kerana semua subjek kecuali Bahasa Melayu diajar guru dengan menggunakan bahasa Mandarin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 4:34 PM