X
DAPUR sebuah rumah yang terbakar. FOTO Ihsan bomba.
DAPUR sebuah rumah yang terbakar. FOTO Ihsan bomba.
Zuliaty Zulkiffli


TIGA rumah teres dua tingkat di Taman Bersatu, Kuala Kedah terbakar pada 5.30 petang, hari ini.

Kebakaran dipercayai bermula di sebuah rumah sebelum merebak ke dua rumah lain yang terletak bersebelahan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 5.36 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Firdaus Isa tiba di lokasi pada 5.48 petang.

“Operasi turut disertai enam anggota dan seorang penyelia serta dibantu oleh pasukan BBP Alor Setar dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Taman Mutiara, Kuala Kedah, Simpang Empat dan Kampung Berjaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setibanya pasukan di lokasi, api sedang marak dengan sebuah rumah di bahagian tengah musnah 80 peratus.

“Dua lagi rumah terbakar 10 peratus. Bagaimanapun kebakaran itu tidak membabitkan mangsa,” katanya.

Kebakaran dapat dikawal pada 6.01 petang, namun punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 7:50 PM
Digital NSTP Subscribe