Lelaki yang ditahan selepas disyaki sebagai tokan syabu di Jalan Tengah Nipah di Lahad Datu, malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Lelaki yang ditahan selepas disyaki sebagai tokan syabu di Jalan Tengah Nipah di Lahad Datu, malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Fardy Bungga

LELAKI yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah berjaya ditahan polis dalam Op Tapis yang dijalankan di Jalan Tengah Nipah di Lahad Datu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, lelaki berusia 32 tahun ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu pada 11.50 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit membawa satu paket plastik berisi syabu yang disimpan dalam beg pinggangnya.

“Paket plastik berkenaan mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dadah syabu seberat 5.30 gram yang dipercayai bernilai RM795 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Turut ditemui 10 gulung kertas timah yang dipercayai untuk digunakan menagih dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasri berkata, suspek dan dadah yang dirampas itu kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis metaphetamine selain turut mempunyai kes jenayah lampau membabitkan Seksyen 15(1)(a) ADB di Kunak pada 2018,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 12:33 PM