PENGARAH Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Jamilah Hashim
PENGARAH Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Jamilah Hashim
Oleh Norsyazwani Nasri


KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mengeluarkan sebanyak 17 notis kesalahan kepada perokok kerana melanggar penguatkuasaan larangan merokok berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata, keseluruhan nilai kompaun berjumlah RM6,000.

"Individu yang menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

"Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah dalam tempoh satu bulan daripada

tarikh izin kompaun diterima," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, bagi kesalahan kedua pula, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan.

"Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

"Kegagalan membayar kompaun dalam tempoh dua bulan dari tarikh notis dikeluarkan akan diambil tindakan mahkamah dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Katanya, mengikut Peraturan 12(1)(a) dan 12(1)(b), pemilik premis yang menerima notis kesalahan dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua.

"Bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan," katanya.

Kegagalan membayar kompaun dalam tempoh dua bulan dari tarikh notis dikeluarkan, di bawah Peraturan 12(1)(a) akan diambil tindakan mahkamah dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

"JKN Sarawak meminta semua pihak terutama perokok supaya memberi kerjasama dan sentiasa mematuhi larangan merokok bagi memastikan kesihatan masyarakat yang bukan perokok dapat dilindungi.

"Kepada mereka yang masih mahu merokok hendaklah berada pada jarak lebih dari tiga meter dari tempat makan atau dari meja terakhir makanan dihidangkan,"katanya.

Katanya, bagi perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang disediakan di klinik-klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 3:44 PM