KAKITANGAN perubatan dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Malaya (UM) melakukan kajian lanjut bagi mengesan penyakit kanser servik.
KAKITANGAN perubatan dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Malaya (UM) melakukan kajian lanjut bagi mengesan penyakit kanser servik.
BERNAMA

ADA peningkatan bilangan kes baharu kanser yang dikesan sepanjang lima tahun bermula 2012 hingga 2016 iaitu 115,238 kes berbanding 103,507 kes bagi tempoh sama pada 2007 hingga 2011.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar insiden penyakit kanser adalah 86 kes bagi setiap 100,000 populasi lelaki dan 102 kes bagi setiap 100,000 populasi perempuan.

Menurutnya, statistik itu berdasarkan laporan lima tahun kedua, Malaysia National Cancer Registry Report 2012-2016 (MNCRR) terbitan Institut Kanser Negara.

“Selain itu, kes yang dikesan lewat pada tahap tiga dan empat didapati meningkat dari 58.7 peratus (2007–2011) kepada 63.7 peratus (2012–2016).

“Penemuan ini membimbangkan kerana kajian Malaysian Study on Cancer Survival yang diterbitkan pada Oktober 2018 menunjukkan semakin lewat kanser dikesan, semakin rendah kadar survival pesakit,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan itu.

Menurut laporan sama, 10 jenis kanser tertinggi dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia mengikut keutamaan bagi tempoh 2012-2016 ialah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim dan ovari.

Beliau berkata, analisis seterusnya mengikut jantina mendapati kanser tertinggi dalam kalangan lelaki ialah kanser kolorektal, kanser paru-paru dan kelenjar prostat manakala dalam kalangan perempuan ialah kanser payudara diikuti kanser kolorektal dan pangkal rahim.

“Kanser yang paling kerap dikesan dalam kalangan kanak-kanak berusia 0–14 tahun adalah leukemia dan kanser sistem saraf tunjang, manakala dalam kalangan remaja berusia 15–24 tahun adalah limfoma,” katanya.

Menurutnya, kanser pangkal rahim menunjukkan penurunan ketara iaitu daripada lapan kes kepada enam kes bagi setiap 100,000 populasi perempuan.

“Penurunan ini berkemungkinan disebabkan kempen pengesanan awal melalui ujian pap smear disediakan kerajaan di semua fasiliti kesihatan. Bagaimanapun, ada peningkatan insiden ketara untuk kanser payudara dan kolorektal,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan analisis laporan mengikut etnik menunjukkan kaum Cina paling kerap dikesan menghidap kanser diikuti kaum Melayu dan India dengan setiap 100,000 populasi berbangsa Cina didapati 106 lelaki serta 117 perempuan menghidap kanser.

“Bagi lelaki dan perempuan Melayu masing-masing menunjukkan kadar insiden 74 kes dan 91 kes bagi setiap 100,000 populasi manakala bagi kaum India, kadar insiden dicatatkan ialah 67 kes lelaki dan 107 kes perempuan bagi setiap 100,000 populasi,” katanya.

Justeru itu, pihaknya merumuskan laporan itu menunjukkan peningkatan beban kanser dalam kalangan penduduk Malaysia dan berharap hasil laporan itu dimanfaatkan semua pihak bagi merancang dan menilai keberkesanan program kawalan serta pencegahan kanser.

Katanya, laporan penuh MNCRR boleh dimuat turun melalui pautan http://nci.moh.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 6:01 AM