Norasikin Daineh

RATUSAN penyokong Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing berkumpul dan mula berarak menuju ke Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di Beaufort sempena penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang bermula 9 pagi hari ini.

Mereka mula hadir dan berkumpul di pekarangan pusat penamaan calon sejak 7 pagi bagi memberikan sokongan selain mengiringi bakal calon.

BN yang bakal diwakili Datuk Mohamad Alamin masuk ke pekarangan dewan pada 8.48 pagi tadi diiringi Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta penyokong.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Ia diikuti bakal calon WARISAN Datuk Karim Bujang pula diiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan beberapa pemimpin BERSATU, AMANAH dan PKR.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman terbatal kerana pelanggaran peraturan pilihan raya.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada hari ini dan mengundi pada 18 Januari nanti.

Anifah yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 menewaskan calon WARISAN, Datuk Karim Bujang dengan majoriti 156 undi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 9:33 AM