SOSEJ dan daging babi yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
SOSEJ dan daging babi yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
Oleh Syaherah Mustafa


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 60 kilogram (kg) daging babi tanpa permit sah di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, semalam.

Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, dalam operasi jam 5 petang itu, anggotanya memeriksa sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki warga Thailand sebelum menemui daging babi bernilai RM200.

Katanya, lelaki terbabit mengaburi mata pihak berkuasa dengan membalut daging menggunakan surat khabar dan meletakkannya di bahagian belakang kereta sebelum ditutup menggunakan kain.

“Hasil siasatan kesemua daging ini dibawa masuk dari Thailand tanpa permit import yang sah daripada MAQIS dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Kita kesal kerana tindakan segelintir individu yang masih membawa masuk daging babi walaupun larangan dikeluarkan oleh MAQIS bagi mengelakkan penyebaran wabak African Swine Fever (ASF).

“Antara negara yang banyak mengimport daging babi seperti China, Poland, Belgium, Vietnam, Kemboja, Hong Kong, Myanmar, Laos, Korea, Filipina dan Thailand,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, MAQIS turut merampas pelbagai jenis sosej seberat 316 kg bernilai RM3,500 yang cuba dibawa masuk ke negara ini dari Thailand tanpa permit import sah, Selasa lalu.

Katanya, sosej terbabit dipercayai untuk dijual dan diedarkan kepada peniaga tempatan kerana permintaan yang sangat tinggi selain harganya yang lebih murah.

“Orang ramai diminta untuk lebih peka dan berhati-hati dalam memilih makanan seperti sosej ini supaya tidak terdedah dengan risiko kesihatan kerana status halal juga diragui.

“Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 11(1) akta yang sama,” katanya.

Beliau berkata, MAQIS sentiasa memantau setiap kemasukan keluaran pertanian melalui pintu masuk yang sah supaya isu membabitkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak merbahaya dapat dibendung serta dikawal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 1:36 PM
Digital NSTP Subscribe