SEBAHAGIAN daripada 4,280 karton rokok bernilai RM1 juta yang dirampas PGA. FOTO Ihsan PGA
Erika George


PASUKAN Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok apabila merampas 4,280 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1 juta di Jalan Kubong di Limbang, semalam.

Serbuan di rumah tidak bernombor itu dilakukan Batalion 12 PGA Limbang dan Miri yang diketuai Pegawai Risikan PGA, Inspektor Rizuan Makladin, pada 12.30 tengah hari.

Komander PGA Briged Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya melakukan intipan selama dua jam sebelum memecah masuk ke rumah itu.

“Rumah terbabit kosong apabila penghuninya dipercayai melarikan diri. Nilai rokok yang tidak bercukai itu dianggarkan RM1 juta.

“Hasil siasatan, sindiket penyeludupan rokok secara haram itu beroperasi sejak enam bulan lalu,” katanya dalam kenyataan medianya, hari ini.

Bercakap mengenai modus operandi yang digunakan penyeludup bagi mengaburi mata orang awam, Khaw berkata, rokok seludup akan dihantar ke rumah terpencil itu bagi dijadikan stor simpanan sementara sebelum ia diedarkan ke pasaran tempatan.

Beliau berkata, rampasan itu yang keempat selepas Kuching, Padawan dan Sarikei dalam tempoh tiga hari bermula tahun baharu ini dengan nilai keseluruhan rampasan RM5 juta.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 5:34 PM