PELAJAR maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang pacuan empat roda di Kilometer 30, Jalan Sri Aman-Lingga, Sri Aman. FOTO Ihsan Pembaca


SEORANG pelajar maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang pacuan empat roda di Kilometer 30, Jalan Sri Aman-Lingga, Sri Aman, hari ini.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, mangsa Patrick Erik Nipak, 16, yang menunggang motosikal Demak Evo meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang menaiki motosikal itu bersama seorang lagi rakannya dalam perjalanan dari arah Sri Aman menuju ke Lingga.

Katanya, motosikal dinaiki mangsa itu bertembung dengan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun.

“Mangsa maut di tempat kejadian, manakala pembonceng motosikal parah dan dibawa ke Hospital Sri Aman untuk rawatan.

“Polis setakat ini masih menyiasat punca kejadian. Kejadian berlaku di jalan lurus dan ketika itu cuaca cerah,” katanya dalam kenyataan medianya, hari ini.

Alexson berkata, setakat ini, maklumat pembonceng motosikal terbabit belum diketahui.

“Kes masih dalam siasatan dan tiada saksi bebas untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 9:07 PM