PELACUR yang cuba bersembunyi selepas kelab malam diserbu Jabatan Imigresen. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Muhaamad Hafis Nawawi


GUNA ayat manis dan pandai menawar bayaran sehingga ada yang mencecah RM1,000 semalam untuk menjadi peneman berhibur sehingga ke ranjang.

Itu konsep perniagaan sebuah kelab malam di Jalan P Ramlee, Kuala Lumpur, yang mengupah wanita warga asing bekerja sebagai gadis ‘rama-rama’ untuk menjerat lelaki.

Bagaimanapun tindakan premis terbabit mengundang padah apabila Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu kelab malam itu dalam Op Bersepadu di 12 lokasi di sekitar Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, serbuan bermula 8 malam hingga 2 pagi itu menahan 34 pelacur terdiri daripada 29 warga Vietnam, Indonesia (empat) dan seorang warga China.

Menurutnya, malah ketika serbuan itu, mereka yang panik melihat kehadiran pihak berkuasa bertempiaran lari dengan bersembunyi di bawah dapur dan tandas.

“Kita menjalankan operasi di premis yang disyaki menggajikan pekerja warga asing tanpa permit dan premis menyediakan khidmat pelayan pelanggan (GRO) yang terbabit dengan aktiviti tidak bermoral.

“Premis lain yang diserbu termasuklah kedai gunting rambut, restoran, kedai runcit dan pusat karaoke membabitkan pemeriksaan terhadap 104 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamidi berkata, dalam serbuan di kelab malam itu, siasatan mendapati wanita warga asing itu mengenakan bayaran serendah RM400 hingga RM1,000 semalam.

“Pelanggan boleh membawa mereka pulang dan menyewa bilik untuk melakukan perbuatan tidak bermoral.

“Jumlah keseluruhan yang ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi itu adalah 58 orang terdiri 17 lelaki dan 41 wanita berusia 25 hingga 48 tahun,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri warga Bangladesh, India, Pakistan, Kemboja, Indonesia, Vietnam dan China.

“Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Imigresen akan terus menggempur dan mempergiatkan operasi untuk mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas tamatnya program Back For Good (B4G),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 9:32 PM