Oleh Zuliaty Zulkiffli


DAYA kreativiti seorang guru menghasilkan beberapa lukisan mural 3D pada dinding dan tangga menjadi daya tarikan unik di Sekolah Kebangsaan (SK) Pida Tiga, Tunjang, Jitra.

Guru terbabit, Ruslan Abu Bakar, 53, berkata, setiap lukisan yang dihasilkan mengambil masa antara satu hingga dua minggu untuk disiapkan.

Katanya, dia akan mengambil masa selama satu jam sehari untuk melukis pada dinding selepas waktu persekolahan.

“Setakat ini saya sudah menyiapkan lukisan pada tangga sekolah, dinding bahagian depan dan dalam sebuah kelas bertemakan alam semula jadi.

“Ramai yang suka lukisan mural berlatar belakang air terjun dan Gunung Keriang kerana kelihatan seolah-olah hidup,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.

LUKISAN mural yang dihasilkan pada tangga sekolah. FOTO Zuliaty Zulkifli
LUKISAN mural yang dihasilkan pada tangga sekolah. FOTO Zuliaty Zulkifli

Ruslan yang juga guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni berkata, setakat ini dia sudah menghasilkan lukisan di lebih 50 sekolah termasuk di Pahang, Johor dan Kedah.

Katanya, setiap lukisan yang dihasilkan itu menterjemahkan maksud tersendiri, selain tidak menggunakan mana-mana lukisan sebagai panduan.

“Saya mula melukis sejak mengajar di SK Bukit Redan, Muazam Shah di Pahang pada 1990-an sehingga hari ini.

“Melalui lukisan juga saya melepaskan tekanan, selain ia juga dapat melepaskan waktu penat bekerja setiap hari,” katanya.

Katanya, selain itu lukisan yang dihasilkannya juga mampu menarik minat murid untuk datang ke sekolah kerana dapat belajar dalam suasana tenang dan nyaman.

RUSLAN menyiapkan lukisan mural pada tangga di SK Pida 3, Tunjang. FOTO Zuliaty Zulkifli.
RUSLAN menyiapkan lukisan mural pada tangga di SK Pida 3, Tunjang. FOTO Zuliaty Zulkifli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 3:16 PM
Digital NSTP Subscribe