AMBULANS dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang berada di sebuah pusat latihan di Cheras, Kuala Lumpur untuk memberikan rawatan kepada guru yang keracunan makanan. FOTO Nuru Hidayah Bahaudin.
AMBULANS dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang berada di sebuah pusat latihan di Cheras, Kuala Lumpur untuk memberikan rawatan kepada guru yang keracunan makanan. FOTO Nuru Hidayah Bahaudin.
Siti A’isyah Sukaimi


MENU ayam masak lemak disyaki penyebab keracunan makanan membabitkan 137 guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di pusat latihan di Cheras, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, makanan berkenaan dimakan pada waktu malam di dewan pusat latihan berkenaan.

Menurutnya, sampel klinikal daripada kes serta sampel makanan sudah diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisis manakala siasatan lanjut masih dilakukan oleh pihak Pejabat Kesihatan Cheras (PKC) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan itu.

“Premis dapur kafeteria pusat latihan berkenaan sudah ditutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan siasatan lanjut dan disinfeksi keseluruhan premis serta akan dibuka semula sebaik sahaja penambahbaikan dibuat oleh pihak pengurusan kafeteria.

“Pihak pengurusan kafetaria juga diminta untuk menyimpan ‘holding sample’ bagi setiap kali kursus dijalankan di pusat berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, makluman awal diterima oleh PKC 3.03 petang hari ini daripada Jabatan Kecemasan Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM) iaitu terdapat peserta kursus yang muntah, sakit perut dan cirit-birit mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

“Siasatan lanjut oleh pihak PKC di HCTM dan pusat latihan mendapati terdapat 137 orang daripada 280 peserta kursus yang terdedah juga mengalami gejala sama dengan empat peserta dimasukkan ke wad.

“Kesemua kes adalah di dalam keadaan stabil dan selebihnya sudah diberikan rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, orang ramai tidak perlu khuatir dengan kejadian wabak yang berlaku kerana keadaan adalah terkawal.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan langkah lihat, hidu dan rasa sebelum mengambil makanan bagi mengelak kejadian keracunan makanan selain sentiasa amalkan kebersihan diri seperti basuh tangan sebelum mengendalikan makanan dan selepas menggunakan tandas.

Harian Metro hari ini melaporkan, 137 guru PASTI yang menyertai kursus selama dua hari di sebuah pusat latihan di Cheras mengalami keracunan makanan.

Timbalan Pengarah PASTI Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Hafizudin Muhamed Nor dilaporkan berkata, daripada jumlah itu, empat guru dibawa ke Unit Kecemasan HCTM kerana mengalami sakit perut dan cirit-birit.

Berita berkaitan:

  • 137 guru tabika keracunan makanan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 10:30 PM