RAMLI Alwi menampal notis larangan merokok di tempat makan ketika mengadakan pemeriksaan di Arkib Kemunting. FOTO Mohd Rafi Mamat.
RAMLI Alwi menampal notis larangan merokok di tempat makan ketika mengadakan pemeriksaan di Arkib Kemunting. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mengeluarkan sebanyak 186 notis kesalahan kepada perokok kerana melanggar penguatkuasaan larangan merokok berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Muda berkata, keseluruhan nilai kompaun selama dua hari operasi penguatkuasaan terbabit berjumlah RM46,500.

Menurutnya, Lipis mencatat jumlah teramai individu dikenakan kompaun iaitu 41 diikuti Kuantan sebanyak 32, Bentong (25), Temerloh (19), Bera (17), Raub (13), Rompin (12), Pekan (11), Maran (8), Cameron Highlands (6) dan Jerantut (2).

Katanya, individu yang menerima notis kesalahan kerana kesalahan merokok di tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

“Pihak yang melakukan kesalahan pertama boleh membuat rayuan dikurangkan kompaun kepada RM150 sekiranya bayaran dapat diselesaikan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh satu bulan daripada tarikh izin kompaun diterima.

“Namun, bagi kesalahan kedua tiada lagi pengurangan kompaun diberikan kepada perokok dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan.

“Kita tidak boleh berkompromi lagi dengan golongan perokok yang bersikap degil dengan merokok di tempat makan hingga menimbul rasa tidak selesa pengunjung lain,” katanya, di Kuantan, hari ini.

Beliau menambah, kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi individu yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Dr Bahari berkata, individu yang gagal membayar kompaun dalam tempoh dua bulan dari tarikh notis dikeluarkan akan diambil tindakan mahkamah dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Menurutnya, JKN Pahang meminta semua pihak terutama perokok supaya memberi kerjasama dan sentiasa mematuhi larangan merokok bagi memastikan kesihatan masyarakat yang tidak merokok dapat dilindungi.

“Pihak yang masih lagi ingin meneruskan aktiviti merokok mereka perlu berada pada jarak lebih dari tiga meter dari tempat makan atau dari meja terakhir makanan dihidangkan.

“Bagi individu yang berhasrat untuk berhenti merokok mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan program bimbingan berhenti merokok atau mQuit yang disediakan secara percuma di klinik kesihatan terpilih dan hospital kerajaan di seluruh negeri.

“Keazaman dan semangat yang kuat untuk meninggalkan tabiat merokok sahaja menjadi senjata untuk bebas daripada rokok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 8:33 AM