Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Abdul Latif Abdul Kadir (kanan) menunjukkan air zam zam yang dirampas. FOTO Norzamira Che Noh
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Abdul Latif Abdul Kadir (kanan) menunjukkan air zam zam yang dirampas. FOTO Norzamira Che Noh
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

AKTIVITI jualan air zam zam di negara ini dibimbangi boleh mengundang transaksi yang cuba mengambil kesempatan dengan mengeksploitasi nama Islam.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sejak dulu jabatan agama Islam di negeri itu tidak membenarkan penjualan sebarang produk yang menggunakan nama Islam.

Katanya, ini kerana tindakan jual beli itu boleh mengundang penipuan terutamanya jika ia membabitkan air zam zam.

“Sampai ada yang mendakwa air yang mereka jual itu mempunyai nilai Ph yang sama dengan air zam zam.

“Sehingga ia (air itu) dijual berleluasa dan penjual mengaut keuntungan... jadi saya rasa kerajaan kena kawal perkara sebegini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Restoran KFC Pandu Lalu Kangar Jaya di Seriab, Kangar, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan restoran KFC Pandu Lalu yang pertama di negeri ini dengan ditemani Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan melarang rakyat menjual air zam zam dan individu yang didapati menjualnya boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Malah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 112,560 liter air zam zam dianggarkan bernilai RM2.53 juta dalam lima kontena di Pelabuhan Klang, Disember lalu.

Ditanya mengenai pengharaman penjualan air zam zam secara total, Mohd Asri berkata, beliau tidak menghalang jualannya, namun penjual tidak boleh mengaut keuntungan melalui penjualannya.

“Kalau sekadar mengenakan caj pengangkutan dan kos membawa masuk ke dalam negara... itu tidak mengapalah.

“Tetapi, kalau ia dieksploitasi dengan dijual dengan keuntungan yang melampau, sehingga beralasankan bahawa air terbabit sudah dijampi atau sebagainya... ini yang tidak boleh.

“Saya kira kerajaan kena pantaulah perkara sebegini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 2:57 PM