Latheefa Koya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Latheefa Koya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Amir Abd Hamid


ENTITI termasuk individu tertentu enggan memulangkan semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dihadapkan ke mahkamah untuk pendakwaan minggu depan.

Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya bagaimanapun enggan mendedahkan senarai penuh pihak yang akan didakwa itu.

“Saya dah bagi bayangan, siapa yang akan termasuk (untuk didakwa) adalah dalam senarai kompaun yang kita keluarkan sebelum ini.

“Individu itu akan dibawa ke mahkamah dan pertuduhan akan dibacakan, itulah tindakannya. Bagaimana kita nak dakwa atau tangkap, kita tidak boleh dedahkan terperinci ketika ini.

“Semua tindakan kami adalah mengikut lunas undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media Teater Semarak Pertiwiku di Istana Budaya, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil dan Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Latheefa berkata, pendakwaan kes berkenaan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Oktober lalu, media melaporkan seramai 80 individu dan entiti sudah menerima notis kompaun daripada SPRM berkaitan kes dana 1MDB dan Latheefa menjelaskan keseluruhan wang disyaki diterima semua entiti dan individu terbabit dianggarkan RM420 juta dengan masing-masing menerima antara RM100,000 hingga RM134 juta.

Sementara itu, katanya, tiada aduan diterima pegawai SPRM di bilik gerakan ditempatkan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis setakat ini.

“Tiada laporan atau aduan di PRK Kimanis, Sabah. Bilik gerakan SPRM setiap hari dibuka. Bagi SPRM jika terdapat salah laku rasuah, tindakan segera akan diambil.

“Jangan buat salah laku ketika kita buat kempen pilihan raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 3:29 PM
Digital NSTP Subscribe