ANTARA PATI yang ditahan dalam operasi semalam. FOTO Ihsan JIM.
ANTARA PATI yang ditahan dalam operasi semalam. FOTO Ihsan JIM.


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 53 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Sapu di tapak pembinaan di Kuala Nerus, semalam.

Terdahulu, operasi itu memeriksa 148 warga asing.

Timbalan Pengarah JIM Terengganu Malik Zaliman Deraman berkata, operasi dijalankan untuk mengesan saki baki PATI yang masih berada di negeri itu secara haram selepas berakhirnya program Back For Good (B4G) pada Disember lalu.

“Ketika serbuan, masing-masing menyembunyikan diri bagi mengelak ditahan.

“Mereka yang ditahan semuanya lelaki berusia 20 hingga 56 tahun dan akan disiasat mengikut Seksyen 51(3)(a) dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“Seramai 32 orang melakukan kesalahan mengikut Perkara 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana langgar syarat pas dan permit kerja; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah (19 orang) dan dua orang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa,” katanya.

Malik Zaliman berkata, daripada jumlah itu, 35 warganegara Bangladesh, Indonesia (8), Pakistan (6) dan empat warganegara Myanmar, malah semua mereka dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut.

“Kita percaya masih ramai warga asing yang tidak mengambil peluang untuk pulang ke negara asal menerusi program B4G dan akan terus melakukan operasi memburu mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 4:10 PM