GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norsyazwani Nasri


BAU busuk dari sebuah pondok berdekatan rumah panjang di Tanjung Penasu, Batang Igan di sini, terungkai selepas penemuan mayat seorang lelaki tergantung awal pagi tadi.

Mayat lelaki tempatan berusia 20 tahun yang mula reput itu ditemukan penduduk rumah panjang berdekatan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komosioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, kira-kira jam 5.25 pagi kaunter pertanyaan Balai Polis Sungai Merah menerima makluman dari tuai rumah berdekatan berhubung penemuan mayat.

“Bertindak atas maklumat, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mayat tergantung di tengah ruang pondok dengan lengkap berpakaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pemeriksaan mendapati pondok berkenaan adalah tempat tinggal si mati yang tidak dilengkapi bekalan elektrik.

“Pemeriksaan awal ke atas mayat yang dijalankan pegawai perubatan mendapati tiada sebarang kesan cedera akibat perbuatan jenayah.

“Mayat dihantar ke hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

#kw mayat busuk, Stanley Jonathan Ringgit

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:37 PM