ANTARA tolong gas LPG dirampas KPDNHEP hasil serbuan di sebuah premis tidak bernombor selepas disyaki melakukan aktiviti penyelewengan gas LPG bersubsidi, di kawasan 18, Klang.
ANTARA tolong gas LPG dirampas KPDNHEP hasil serbuan di sebuah premis tidak bernombor selepas disyaki melakukan aktiviti penyelewengan gas LPG bersubsidi, di kawasan 18, Klang.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

DISIFATKAN rampasan terbesar membabitkan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di negeri Selangor awal tahun ini.

Itu antara kejayaan hasil operasi dilakukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang melakukan serbuan di sebuah kilang papan tersorok di Klang, Selangor, tadi.

Ketua Seksyen Kawalan Bekalan KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam berkata, operasi turut membabitkan KPDNHEP Selangor dan Seksyen Perisikan KPDNHEP Putrajaya yang melakukan intipan sejak seminggu lalu.

Menurutnya, hasil serbuan jam 4 petang itu, pihaknya mendapati kilang papan itu menjadi markas kegiatan pemindahan gas LPG dari tong LPG subsidi ke tong LPG industri.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui 280 tong LPG seberat 50 kilogram setiap satu selain 420 tong LPG seberat 40 kilogram setiap satu.

“Kami turut merampas peralatan digunakan sindiket antaranya hos paip termasuk ais digunakan untuk memindahkan gas.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM100,000. Semua tong LPG itu disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pihak KPDNHEP memandang serius kes penyelewengan gas LPG subsidi berikutan ia sepatutnya dinikmati oleh rakyat.

Difahamkan sindiket biasanya mengaut keuntungan apabila LPG subsidi diseleweng itu dijual semula pada kilang, restoran dan pihak industri pada harga tinggi.

Beliau berkata, kes disiasat Seksyen 21 Akta bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Katanya, bagi kesalahan itu, individu boleh dikenakan denda tidak kurang RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, manakala bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 10:05 PM
Digital NSTP Subscribe