DATUK Seri Najib Razak terkejut dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sembilan set rakaman percakapan didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi.

BH Online melaporkan susulan itu, Najib sedang mengkaji dan merujuk kandungan pendedahan berkenaan dengan peguamnya.

Hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya memperdengarkan klip audio perbualan berkaitan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Antaranya, membabitkan rakaman percakapan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mendedahkan maklumat siasatan mengenai skandal 1MDB kepada Najib pada 2016.

Najib berkata, beliau akan mengkaji dari segi undang-undang dan tindakan yang boleh diambil kerana beliau adalah ketua kerajaan ketika itu.

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir pada prosiding bela diri terhadap tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 Juta SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir pada prosiding bela diri terhadap tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 Juta SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa perkara berkenaan tidak pernah dilakukan dalam sejarah negara ini, selain mempersoalkan pendedahan terbabit dibuat ketika menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Terdahulu, Latheefa pada sidang media di Putrajaya berkata, semua rakaman percakapan yang didedahkan SPRM didakwa berlaku pada 2016, dan hasil siasatan setakat ini mendapati ia adalah tulen.

Latheefa berkata, perbincangan antara individu dalam rakaman itu menunjukkan wujud elemen konspirasi jenayah, pecah amanah, salah guna kuasa, pendedahan maklumat sulit kerajaan, cubaan memalsukan bukti dan ancaman keselamatan negara.

Berita berkaitan

Dedah demi kepentingan awam

SPRM dedah rakaman audio 'mengejutkan'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 2:32 PM