SOOMA Lumat, 80, berbincang dengan kakitangan Tenaga Nasional Bhd mengenai pemasangan meter di rumahnya yang sedang dibina di Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
SOOMA Lumat, 80, berbincang dengan kakitangan Tenaga Nasional Bhd mengenai pemasangan meter di rumahnya yang sedang dibina di Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar


"ALHAMDULILLAH berkat tabungan kami dan dibantu dengan keprihatinan adik beradik yang bermurah hati menghulurkan sumbangan, kami berjaya membina semula rumah yang hampir musnah,” ujar mangsa kebakaran rumah, Norzita Abdul Ghani, 40.

Malah dia turut bersyukur dengan bantuan Pejabat Ahli Parlimen Masjid Tanah, JAPERUN (Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN) Ayer Limau dan Zakat Melaka.

Dia berkata, walaupun bantuan ketiga-tiga organisasi itu tidak mencukupi bagi membolehkan rumah berkenaan dibina semula namun ia sedikit sebanyak membolehkan dia, suami, Mohd Suhaili Mohd Said, 45, serta empat anak berusia antara tujuh hingga 15 tahun membina hidup baharu.

Norzita yang bertugas sebagai penyelia asrama sekolah di Tanjung Bidara berkata, dia dan suami mengambil keputusan merobohkan rumah ibu, iaitu rumah lama diperbuat daripada papan yang terbakar pada 2 Disember lalu.

SOOMA Lumat, 80, memerhatikan pekerja membina rumahnya di Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
SOOMA Lumat, 80, memerhatikan pekerja membina rumahnya di Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar

Katanya, ibu, Sooma Lumat, 80, tidak menghalang rumah lama itu dirobohkan bagi membolehkan bangunan baru daripada struktur batu dibina, sekali gus menyediakan ruang lebih luas untuk keluarga.

Mohd Suhaili yang bertugas sebagai pembantu gerai di Pasar Masjid Tanah berkata, kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar struktur rumah diperbuat daripada papan itu menyebabkan dia dan isteri bertekad membina rumah baharu di tapak sama.

"Dalam kejadian itu hanya bahagian atas rumah musnah manakala bahagian dapur yang diperbuat daripada batu tidak terjejas.

"Alhamdulillah, kerja pembinaan dimulakan pertengahan bulan lalu dan dijangka siap beberapa minggu lagi," katanya ketika ditemui di kediaman itu hari ini.

Dalam kejadian jam 4.15 petang pada 2 Disember lalu, bahagian anjung, ruang tamu dan bilik tidur musnah terbakar.

Bagaimanapun ketika kejadian Mohd Suhaili sekeluarga, termasuk Sooma yang menghuni rumah berkenaan tiada di rumah kerana menziarahi saudara mereka yang terlantar di Hospital Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 3:19 PM
Digital NSTP Subscribe