PEKERJA premis perniagaan menukar papan tanda dari tulisan rumi ke Jawi di bandar Kuantan. FOTO arkib NSTP
PEKERJA premis perniagaan menukar papan tanda dari tulisan rumi ke Jawi di bandar Kuantan. FOTO arkib NSTP


KIRA-kira 30 peratus pemilik premis perniagaan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) masih belum memasang papan tanda bertulisan Jawi yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, peratusan itu berdasarkan tinjauan dan pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sejak 2 Januari lalu.

Justeru, katanya, pihaknya akan mempertingkatkan penguatkuasaan di sekitar daerah ini untuk memastikan pemilik premis mematuhi arahan terbabit.

“Penguatkuasaan ini akan berterusan dari semasa ke semasa sehingga semua premis di daerah Kuantan memasang tulisan Jawi pada papan tanda.

“Alasan tidak sempat dan kos mahal bagi pemasangan tulisan Jawi tidak boleh diterima kerana tempoh setahun sudah diberikan kepada semua pemilik premis perniagaan,” katanya hari ini.

Dalam operasi tulisan Jawi setakat semalam, seramai 25 pemilik premis perniagaan masing-masing dikompaun RM250 kerana gagal berbuat demikian.

Tindakan kompaun itu dikenakan terhadap peniaga selepas MPK memberi tempoh setahun untuk memasang tulisan Jawi berkenaan.

Sehubungan itu, Norkamawati berkata, pihaknya meminta kerjasama semua peniaga untuk mematuhi arahan terbabit kerana tiada lagi kompromi terhadap pemilik premis perniagaan yang gagal memasang papan tanda bertulisan Jawi yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

“Bukan saja boleh dikenakan kompaun, malah lesen perniagaan boleh dibatalkan jika masih berdegil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 3:52 PM
Digital NSTP Subscribe