BERNAMA

BEKAS timbalan pengarah kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM1,000,187 pada Mei tahun lalu.

Sabudin Mohd Salleh, 58, yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan berkenaan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama, Sabudin didakwa menggunakan wang tunai berjumlah RM43,000 untuk pembelian sebuah lori daripada Ong Sau Ming, pemilik sebuah syarikat pengedar jenis kenderaan itu, yang mana wang itu adalah hasil aktiviti haram.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Taman Puchong Utama, dekat sini pada 1 Mei 2019.

Sabudin juga didakwa memiliki wang tunai berjumlah RM663,017 yang mana wang berkenaan adalah hasil daripada aktiviti haram dan melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana, Ampang dekat sini pada 9 Mei 2019.

Mengikut pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa memiliki wang tunai berjumlah RM294,170 yang mana wang berkenaan juga hasil aktiviti haram dan melakukan kesalahan itu di pejabat Sasrestu Sdn Bhd, Taman Melawati, Gombak dekat sini pada 9 Mei 2019.

Bagi kesemua pertuduhan, Sabudin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

BEKAS Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh, 57, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) membabitkan nilai RM1 juta. FOTO Faiz Anuar

Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan juga denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nik Haslinie Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan Sabudin adalah serius namun menyatakan jika mahkamah merasakan lelaki itu layak dijamin, beliau memohon wang jaminan ditetapkan sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin.

Peguam tertuduh, Aiman Abdul Rahman memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya turut didakwa atas empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam dan dikenakan bayaran ikat jamin sebanyak RM120,000.

“Saya memohon mahkamah mengambil kira kes (rasuah) tersebut dan menetapkan jumlah jaminan yang rendah kerana anak guam saya turut diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah semalam. Jadi, tiada alasan untuk anak guam saya melarikan diri,” katanya.

Hakim Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin selain menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan kes akan disebut semula pada 20 Februari ini.

Tertuduh membayar wang jaminan tersebut. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 4:05 PM