X
MAZLAN bersama barang rampasan serbuan di dua buah premis kegiatan penipuan atas talian di sekitar Bukit Bintang. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
MAZLAN bersama barang rampasan serbuan di dua buah premis kegiatan penipuan atas talian di sekitar Bukit Bintang. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
Raja Noraina Raja Rahim


PENAHANAN 26 pekerja tempatan di Bukit Bintang, di sini, membongkar taktik terbaru sindiket penipuan dalam talian atau ‘Macau scam’ yang menggunakan warga tempatan untuk menipu mangsa.

Mereka mendakwa terpedaya dengan tawaran kerja sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan gaji antara RM3,000 hingga RM8,000 sebulan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan dilakukan Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi serta Bukit Aman di dua premis berasingan pada 2 Januari lalu.

Menurutnya, seramai 14 lelaki dan 12 wanita tempatan berusia antara 18 hingga 28 tahun itu ditahan dalam serbuan pertama pada jam 3.30 petang.

“Hasil serbuan itu, polis merampas 31 monitor komputer dan 31 komputer riba, 80 telefon bimbit, sebuah modem internet bersama satu simkad yang digunakan untuk aktiviti penipuan dan judi dalam talian.

“Sindiket yang didalangi warga China itu dikesan baru beroperasi Disember lalu dan menyasarkan warga China sebagai mangsa,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, hasil soal siasat, pekerja yang ditahan itu mendakwa mereka memohon kerja menerusi sebuah agensi pekerjaan dalam talian dan dipanggil temuduga sebelum diterima bekerja.

“Kebanyakannya mempunyai kelulusan diploma sehingga sarjana yang baru menamatkan pengajian dan mencari kerja. Tanpa mereka sedari, kerja yang dilakukan itu adalah penipuan dalam talian.

“Siasatan mendapati sindiket itu mampu meraih keuntungan lebih RM100,000 sehari dan mencecah RM6 juta sebulan hasil penipuan dilakukan,” katanya.

Mazlan berkata, dalam serbuan kedua jam 4.30 petang, seramai 19 lelaki dan seorang wanita warga China ditahan selain 19 komputer, 35 telefon bimbit, lapan pasport serta sejumlah wang tunai dirampas.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 6:07 PM