ANGGOTA bomba menebuk sebahagian dinding di gudang penyimpanan arang batu bagi mengawal kebakaran di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba menebuk sebahagian dinding di gudang penyimpanan arang batu bagi mengawal kebakaran di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
Nur Saliawati Salberi


TINDAKAN pantas bomba berjaya menyelamatkan sebuah gudang penyimpanan arang batu di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka, daripada terbakar sepenuhnya, malam tadi.

Kebakaran pada 8.45 malam itu disedari pekerja kilang di sebelah gudang penyimpanan bahan api berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkifli Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.54 malam sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu dan BBP Padang Temu bersama 20 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sejurus tiba, sebahagian premis itu terbakar sebelum anggota bomba mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian premis lain.

“Kami berjaya mengawal api dan hanya 20 peratus sahaja premis itu terjejas sebelum kerja pemadaman api selesai sepenuhnya pada 1 pagi.

“Kami mengambil masa 10 minit untuk menebuk sebahagian dinding gudang terbabit bagi membuat pemadaman sepenuhnya.

“Disebabkan objek terbakar itu adalah arang batu jadi kami perlu memastikan tiada bara di bahagian bawah timbunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 2:40 PM