ADLY pada sidang media Mesyuarat Kerajaan Negeri. FOTO Khairunisah Lokman
Nurul Fhatihah Zakinan


KERAJAAN negeri Melaka membuat ketetapan dengan menyelaras portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna disandang G Saminathan, bagi memperkemaskan pelaksanaan program dan perkhidmatan kepada rakyat.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, penyelarasan itu membabitkan jawatan EXCO Kesihatan dan Antidadah, Low Chee Leong yang akan memangku portfolio Perpaduan.

Menurutnya, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew pula memangku Hal Ehwal Pengguna manakala beliau sendiri mengambil alih Sumber Manusia.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengambil keputusan melakukan penyelarasan portfolio disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek itu bagi memastikan tanggungjawab terhadap rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan.

"Jika kita lihat Ketua Menteri (seperti sebelum ini) memegang sembilan portfolio, jadi kita mempunyai banyak ruang boleh dilaksanakan. Memang kita membuat agihan ini dan ia lebih baik. Kalau kita lihat portfolio EXCO Kesihatan, tidak terlalu membebankan dan boleh fokus isu berkait perpaduan," katanya pada sidang media mesyuarat EXCO, di Seri Negeri, hari ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata, Saminathan yang kini masih ditahan berikutan tuduhan berkaitan Kumpulan Pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), itu kekal tanpa perlu penstrukturan semula barisan EXCO kerajaan negeri.

Media sebelum ini melaporkan, Saminathan, 35, ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas dipercayai terlibat LTTE, 10 Oktober tahun lalu.

Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini menolak permohonan jaminan terhadap Saminathan serta seorang lagi individu, iaitu ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaren, 61, dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) S Chandru, 39, pada 18 Disember lalu.

Mahkamah menolak keputusan itu berikutan kes berkenaan membabitkan keselamatan negara selain mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang merit mengapa jaminan wajar diberikan.

Selain tiga individu itu, mereka yang lain turut didakwa berkaitan LTTE ialah pemandu teksi V Balamurugan, 38; penghantar surat, S Teeran, 39; peniaga besi buruk, A Kalaimughilan, 29; juruteknik, S Arivainthan, 28; penjaga stor, S Thanagaraj, 27; pengawal keselamatan, M Pumugan, 29; seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 54; Ahli DAP, V Suresh Kumar, 44; dan peniaga, B Subramaniam, 58

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri pada 29 dan 31 Oktober tahun lalu atas pertuduhan berkaitan LTTE.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 7:42 PM