GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


DITUMBUK dan ditendang selain teman wanita diugut akan dirogol jika membuat bising. Itu nasib malang menimpa seorang lelaki selepas kediamannya di Batu Caves, Gombak, dirompak lima lelaki bertopeng, 6 Januari lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 27 tahun turut kerugian RM50,000 selepas suspek membawa lari wang tunai, mata wang asing pelbagai negara, barangan kemas, Ipad dan beg tangan berjenama.

Menurut sumber, ketika itu mangsa bersama teman wanitanya mengangkat pakaian di dapur rumah sebelum terlihat lima lelaki bertopeng bersenjatakan parang menceroboh.

“Suspek meluru ke arah mangsa dan mengacu parang sebelum memintanya menunjukkan tempat alat perakam kamera litar tertutup (CCTV).

“Selepas merampas alat perakam itu, suspek mengarahkan mangsa menunjukkan tempat penyimpanan barangan berharga,” katanya.

Sumber berkata, selepas menggeledah bilik menyimpan barangan berharga itu, dua daripada suspek bertindak menumbuk dan menendang mangsa.

“Mereka turut mengugut akan merogol kekasihnya jika membuat bising sebelum pasangan itu diikat dan ditinggalkan di dalam bilik.

“Sebaik suspek melarikan diri, teman wanita mangsa berjaya membuka ikatan sebelum menghubungi polis meminta bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan kejadian itu dan sedang mengenal pasti suspek bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 4:05 PM