X
KEADAAN kenderaan yang remuk. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kenderaan yang remuk. FOTO Ihsan Bomba
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

TIGA beranak termasuk bayi perempuan berusia empat bulan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Temerloh, hari ini.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa yang maut adalah Mohammad Adnan Anuar dan isterinya, Siti Tul Assiqin Abdul Wahab, kedua-duanya berusia 23 tahun serta anak mereka, Nur Alissa Insyirah berusia empat bulan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, ketika kejadian tiga beranak yang menaiki Proton Persona itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Apabila tiba di tempat kejadian yang juga kawasan berselekoh, kereta dipandu Mohammad Anuar memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan lori tangki yang membawa muatan minyak sawit.

“Pemandu lori tangki berkenaan cuba mengelak kenderaan mangsa namun bergesel dengan sebuah lagi lori yang berada di lorong kiri,” katanya.

Katanya, mayat Nur Alissa Insyirah dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya terpaksa meminta bantuan dari anggota bomba untuk membawa keluar mayat Muhammad Adnan dan Siti Tul Assiqin kerana tersepit di tempat duduk masing-masing.

“Pemandu lori tangki, Abdul Aziz Awang Besar, 55, tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu lori, Ahmad Syawal Ahmad Supian, 27, luka pada tangan kanan dan kaki kiri.

“Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mereka untuk urusan pengebumian,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 9:07 PM