NUR Auni Zulaikha dirawat di hospital. FOTO ihsan Fatimah Zaharah
NUR Auni Zulaikha dirawat di hospital. FOTO ihsan Fatimah Zaharah
Amir Abd Hamid


“SAYA dan suami mengambil cuti dan bergilir-gilir menjaga tiga anak selepas seorang demi seorang dijangkiti virus influenza,” kata kakitangan swasta Fatimah Zaharah [email protected], 41.

Semua anaknya iaitu Nur Auni Zulaikha, 5, Muhammad Afiq Dzulqarnain, 2, dan Muhammad Alif Dzulfiqar, 12 bulan, dijangkiti virus influenza bermula dengan anak keduanya pada 30 Disember lalu.

Fatimah Zaharah berkata, beberapa hari sebelum itu dia dan suaminya Hasrulfaizi Mustaffa, 37, membawa anak mereka beriadah di tepi pantai dan kolam renang di Morib.

“Mungkin virus influenza itu bermula di sana. Pada mulanya saya ingatkan anak hanya demam selesema biasa. Jadi bagi sahaja ubat demam, antibiotik dan selesema kemudian pantau.

“Doktor di klinik sudah jelaskan jika habis antibiotik tetapi demam masih berlarutan, anak perlu menjalani ujian influenza. Beberapa hari kemudian, anak sulung masih demam dan suhu mencecah 38 darjah celsius.

“Terus saya bawa ke hospital swasta di Subang Jaya sebelum dia disahkan dijangkiti virus influenza. Atas nasihat doktor, dua lagi anak disaran turut menjalani ujian dan turut positif,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Selain menjaga anak di wad dalam masa sama, katanya, dia dan suami turut bergilir-gilir menjaga dua anak lagi yang dikuarantin di rumah mereka.

“Ketika itu kelam-kabut sikit sebab anak ada di wad dan ada dijaga di rumah. Alhamdulillah, sekarang semua anak kami kuarantin di rumah sahaja dan kesihatan makin pulih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 9:43 PM