GURU cedera selepas dipukul pelajar yang berang ditegur. FOTO ihsan Polis
GURU cedera selepas dipukul pelajar yang berang ditegur. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


PELAJAR lelaki Tingkatan 3 menumbuk dan membelasah guru lelaki kerana berang guru berkenaan menegurnya menunggang motosikal tanpa lesen di Song, Kapit, semalam.

Ketua Polis Daerah Song Deputi Superintendan Rowney Michael Jalak berkata, kejadian itu berlaku di sekolah menengah di daerah ini pada 11.50 pagi.

"Difahamkan pelajar terbabit tidak berpuas hati terhadap teguran guru berkenaan berhubung tindakannya yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen.

"Selain menumbuk, suspek juga mengangkat serta menghempas guru berkenaan ke lantai sehingga mangsa mengalami luka di kepala dan tangan sebelah kiri," katanya dalam kenyataan di Song, hari ini.

Rowney berkata, tindakan suspek membelasah mangsa juga mengakibatkan mangsa lebam di pipi.

"Kejadian itu turut disaksikan seorang lagi guru yang kemudian meleraikan situasi berkenaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 9:39 PM