MARITIM Malaysia Zon Tanjung Sedili menahan dua vesel  di perairan Johor Timur, Kota Tinggi, petang semalam. FOTO IHSAN APMM
MARITIM Malaysia Zon Tanjung Sedili menahan dua vesel di perairan Johor Timur, Kota Tinggi, petang semalam. FOTO IHSAN APMM
Nurul Amanina Suhaini


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan sebuah kapal tangki dan sebuah bot nelayan tempatan di perairan Johor Timur, di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal tangki ditahan kira-kira jam 12.10 tengah hari dipercayai sedang berlabuh pada kedudukan 3.6 batu nautika di timur Tanjung Penyusop.

Manakala, bot nelayan tempatan pula ditahan kira-kira jam 1.30 petang, ketika leka menangkap ikan pada kedudukan 10 batu nautika timur Tanjung Balau.

“Hasil pemeriksaan, empat lelaki termasuk nakhoda warga Myanmar dan India berusia antara 27 hingga 50 tahun ditahan dipercayai mengendalikan kapal tangki yang berdaftar di Ulaan Baatar, Mongolia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 280, Kanun Keseksaan kerana menjalankan perahuan dengan cuai atau merbahaya dengan jumlah kru yang tidak mencukupi seperti ‘Safe Manning Certificate’.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 491B (L), OPS 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa pemakluman atau kelulusan Ketua Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mohd Zulfadli berkata, jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya bagi kesalahan mengikut Seksyen 280, Kanun Keseksaan.

Selain itu, katanya, mereka boleh denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, bagi Seksyen 491B (L), OPS 1952 serta Seksyen 72(1), OPS 1952 pula boleh didenda sehingga RM100,000.

“Manakala, bot nelayan tempatan kelas C yang dikendalikan tiga lelaki termasuk tekong berusia antara 34 hingga 41 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika dan awak-awak Indonesia bertindak sebagai nakhoda.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan perairan negara khususnya perairan Johor Timur bebas sebarang jenayah mahupun pelanggaran undang-undang.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 6:32 PM