Gunung Berapi Taal di Filipina meletus tengah hari semalam. FOTO AFP
Gunung Berapi Taal di Filipina meletus tengah hari semalam. FOTO AFP
Nurul Hidayah Bahaudin


KEMENTERIAN Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terjejas dalam kejadian letusan Gunung Berapi Taal, Manila, Filipina, semalam.

Dalam kenyataannya, kementerian itu memaklumkan pihaknya memantau perkembangan berhubung letupan gunung terbabit yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Manila.

“Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) mengeluarkan status amaran gunung berapi berkenaan pada tahap empat (letusan berbahaya).

“Penduduk di kawasan berhampiran sudah dipindahkan dan semua penerbangan masuk serta keluar dari Lapangan Terbang Manila juga ditangguhkan sehingga diberitahu nanti.

“Setakat ini, tiada laporan diterima membabitkan rakyat Malaysia yang terjejas dalam kejadian itu,” katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan semua rakyat Malaysia yang berada di kawasan terbabit dinasihatkan supaya lebih peka dan berwaspada, selain mengikuti arahan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Manila menerusi talian +63 2 8662 8200 atau emel kepada [email protected],” katanya.

Gunung berapi Taal dilaporkan meletuskan debu tengah hari semalam sekali gus menggerakkan kemungkinan langkah pemindahan ribuan penduduk.

Ahli seismologi kerajaan negara itu merakamkan pergerakan magma terhadap kawah Taal, satu daripada gunung berapi paling aktif yang terletak 65 kilometer di selatan Manila.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 12:28 AM