FOTO hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


SEMBILAN kes jangkitan virus influenza direkodkan di Terengganu membabitkan pesakit berusia antara tiga hingga 38 tahun.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Noor Azimi Yunus berkata, kes direkodkan pada 5 dan 7 Januari lalu.

Katanya, mangsa daripada dua keluarga berbeza di Setiu.

Beliau bagaimanapun berkata, semua pesakit hanya dirawat di klinik swasta.

“Daripada sembilan kes itu, lima kes positif Influenza A dan tiga kes positif Influenza B.

“Keadaan semua kes adalah stabil dan dalam keadaan terkawal. JKNT dengan kerjasama Pejabat Daerah Setiu akan terus memantau kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Azimi berkata, orang awam dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan serta patuh kepada etika batuk dan bersin.

“Masyarakat juga dinasihatkan segera ke hospital atau klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan.

“Bagi golongan berisiko dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin influenza di klinik swasta,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 8:37 AM