Muhammad Saufi Hassan


BANDAR kepulauan pintar pertama di negara. Itu yang boleh diungkapkan bagi pulau peranginan ini apabila mempunyai kelengkapan sistem bandar pintar yang dikuasakan dengan jaringan telekomunikasi generasi kelima atau 5G.

Bandar peranginan ini menjadi kepulauan 5G pertama di negara dan lokasi kedua untuk fasa demonstrasi teknologi berkenaan selepas Cyberjaya, Selangor yang turut mempunyai fungsi sama.

Ciri bandar pintar berkenaan berjaya direalisasikan menerusi kepakaran Telekom Malaysia Berhad (TM) dan kerjasama dengan beberapa agensi negeri lain untuk mewujudkan ekosistem pintar.

Pusat peranginan ini dilengkapi dengan ciri khusus antaranya lampu isyarat pintar, sistem parkir pintar, sektor pertanian pintar, penyelesaian kepada segmen keselamatan dan beberapa kelengkapan lain yang bukan saja memberi faedah kepada industri sebaliknya pengguna secara keseluruhan.

TM dengan kerjasama Majlis Daerah Kuah sudah membina Pusat Kawalan 5G yang menjadi hab pemantauan seluruh pusat peranginan berkenaan bermula daripada kawalan lampu isyarat pintar sehingga kepada kamera pengawasan resolusi tinggi yang memberikan video dalam masa nyata.

Menerusi teknologi 5G berkenaan, video boleh dilihat dalam masa nyata dengan kecepatan penghantaran data sekali gus berjaya mengatasi masalah kelengahan maklum balas (low latency) seperti yang dihadapi oleh 4G sebelum ini.

Menjayakan demonstrasi berkenaan, sebanyak lapan lokasi pemancar Projek Demonstrasi 5G (5GDP) sudah dibina terletak di lokasi strategik seluruh pulau peranginan berkenaan.

Pengarah Urusan TM Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, teknologi 5G itu juga memberi ruang kepada pengguna untuk merasai ciri kehidupan pintar di samping persekitaran yang menyokong kepada ekosistem berkenaan.

“Jika kita bercakap tentang 5G, ia bukan saja berkaitan dengan jaringan telekomunikasi atau Internet berkelajuan tinggi sebaliknya ia merangkumi lebih banyak aspek lain termasuk segmen keselamatan.

“Teknologi 5G ini juga kita boleh pasang kamera keselamatan resolusi tinggi yang dilengkapi dengan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengesan kemasukan pelancong dan menerusi tetapan algorithm yang betul, kita akan dapat lihat bagaimana seseorang pelancong itu.

Pusat kawalan 5G Langkawi.
Pusat kawalan 5G Langkawi.

“Contohnya, adakah dia gembira, sedih, cemas atau sebagainya dan kaedah sama boleh digunakan untuk menapis kemasukan pelancong memandangkan kamera ini akan menghantar video secara masa nyata dan ia dapat mengumpul maklumat apabila pelancong melaluinya,” katanya.

Difahamkan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan merasmikan Projek Demonstrasi 5G di Langkawi hujung minggu ini dan menjadikan pulau pertama yang dilengkapi dengan ekosistem pintar menerusi jaringan 5G.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 10:13 AM
Digital NSTP Subscribe