GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amirul Aiman Hamsuddin


PELAJAR lelaki sebuah sekolah agama meninggal dunia selepas pengsan ketika menyertai latihan merentas desa di Sungai Besar, semalam.

Mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Besar.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, sebelum kejadian, pelajar itu menjalani latihan merentas desa sejauh 3.8 kilometer.

Dia dikatakan pengsan dalam kawasan sekolah, jam 4.15 petang.

"Mangsa dibawa ke klinik kesihatan terbabit, namun disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan.

"Hasil pemeriksaan pada mangsa mendapati tiada unsur jenayah," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 9:39 AM