Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JIKA di Malaysia, rutin harian kanak-kanak biasanya diisi dengan 1,001 aktiviti menyeronokkan terutamanya pada hujung minggu, namun semua itu jauh berbeza dengan kehidupan harian kanak-kanak pelarian Syria di Lembah Beqaa, Lubnan.

Waktu mereka banyak dihabiskan dengan berkejaran di waktu pagi dan petang bersama rakan juga adik beradik sambil menatap sayu lukisan mural di tembok di Kem Al Awdah, di sini.

Kesempatan penulis bermesra dengan sekumpulan kanak-kanak berusia lingkungan empat hingga 10 tahun yang dilihat asyik melihat satu persatu lukisan rumah indah itu sungguh meruntun jiwa.

Mana tidaknya, setiap daripada kanak-kanak terbabit sangat mengharapkan dapat kembali ke kampung halaman dan tidak lagi hidup menderita sebagai pelarian.

Lukisan dengan bantuan guru yang disiapkan beberapa bulan lalu itu menggambarkan rumah tempat asal kelahiran kanak-kanak terbabit di Syria yang menjadi antara kenangan terindah yang tidak mungkin dilupakan.

Seorang daripada kanak-kanak pelarian Syria, Fatimah Omar, 9, berkata, lukisan itu dilukisnya bersama rakan-rakan yang lain ketika sesi pembelajaran bersama guru di kem itu beberapa bulan lalu.

Fatimah Omar,9 bersama kanak-kanak yang lain melukis mural berkenaan dengan bantuan guru di sekolah Kem Al-Awdah,Lembah Beqaa. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Fatimah Omar,9 bersama kanak-kanak yang lain melukis mural berkenaan dengan bantuan guru di sekolah Kem Al-Awdah,Lembah Beqaa. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor

“Lukisan ini sungguh bermakna bagi saya juga rakan-rakan kerana ini adalah imaginasi kami apabila mengenangkan rumah lama yang pernah didiami suatu masa lalu tetapi kini semuanya tiada lagi.

“Walaupun saya masih kecil ketika menjadi pelarian ini, namun saya dapat merasai kerinduan terhadap kampung halaman dan tempat tinggal dulu,” katanya.

Menurut Fatimah, lukisan itu juga menjadi antara kenangan terindah juga penguat semangat dirinya dan rakan-rakan.

“Kini semuanya jauh berbeza, jika dulu kami tinggal di rumah tetapi kini kami hanya tinggal di khemah yang serba kekurangan apatah lagi ketika musim sejuk ini. Disebabkan itu, setiap kali berasa sedih kami akan menatap lukisan ini.

“Bayangkan kami bukan saja tidak mempunyai rumah malah tidak juga mempunyai kelengkapan harian berdepan musim ini. Walaupun sedih, namun saya tetap bersyukur kerana masih dipanjangkan usia untuk meneruskan hari-hari akan datang,” katanya.

 Kanak-kanak pelarian di Kem Al-Awdah di Lembah Beqaa mengabdikan lukisan mural ditembok kem berkenaan bagi melepaskan kerinduan terhadap kampung halaman. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Kanak-kanak pelarian di Kem Al-Awdah di Lembah Beqaa mengabdikan lukisan mural ditembok kem berkenaan bagi melepaskan kerinduan terhadap kampung halaman. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Penulis yang bertemu Fatimah semalam, mengikuti misi sukarelawan Lubnan bersama Aman Palestin bagi menyerahkan bantuan musim sejuk kepada kira-kira 103 kem di Lembah Beqaa dan Aarsal.

Selain menyerahkan sumbangan, misi berkenaan turut menjalankan aktiviti khidmat masyarakat seperti membaiki khemah, membersihkan persekitaran kem dan membantu urusan pentadbiran.

Rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib pelarian Syria dan Palestin boleh terus menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 12:33 PM
Digital NSTP Subscribe