Raja Noraina Raja Rahim


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, setiap kali tiba musim perayaan jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya utara selatan akan meningkat sebanyak 2 juta iaitu 18 peratus berbanding hari biasa.

Menurutnya, PLUS menjangkakan jumlah kenderaan di lebuh raya akan berada di tahap tertinggi pada 22 hingga 24, 27, 28 dan 31 Januari serta 1 Februari ini.

“Bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna, PLUS berkolaborasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk aspek penguatkuasaan undang-undang. Kehadiran anggota polis di lebuh raya akan memberi kelegaan dan rasa selamat pengguna.

“Selain itu, pasukan PLUSRonda juga akan ditambah untuk membantu pengguna. Seramai 5,000 kakitangan ditempatkan untuk memberi bantuan kecemasan dan khidmat pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Op Selamat Ke-16 Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2020 di Persada PLUS di Subang di sini, hari ini.

Mazlan bersama Mohamad Nasir Ab Latif mengibarkan bendera sempena pelepasan pasukan petugas di majlis pelancaran Op Selamat 16/2020. FOTO Eizairi Shamsudin

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Sementara itu Mohamad Nasir berkata, hebahan trafik berterusan menggunakan pelbagai saluran komunikasi akan turut dimaksimumkan termasuk menerusi media sosial bagi membolehkan pengguna mengelakkan kesesakan dan merancang perjalanan.

“Sekiranya trafik sesak, PLUS dengan kelulusan PDRM akan membuka laluan kontra di lokasi tertentu lebuh raya bagi melancarkan pergerakan kenderaan. Kerja penyelenggaraan lebuh raya juga akan dihentikan sementara,” katanya.

Menurutnya, PLUS juga akan menggunakan dron untuk memantau pergerakan trafik dari udara di beberapa lokasi kritikal.

Beliau berkata, walaupun terdapat lonjakan trafik amat tinggi pada musim perayaan namun PLUS sentiasa bersedia memastikan pengguna menikmati perjalanan menggembirakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 1:40 PM