Shafa’aton (dua kiri) menunjukkan barang kes dirampas dari Geng Uden Rentap. FOTO Ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


SELEPAS lebih lima tahun aktif melakukan kegiatan samun, lapan individu termasuk seorang wanita dipercayai terbabit dengan Geng Uden Rentap ditahan dalam serbuan berasingan pada 7 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita berusia 30-an memaklumkan disamun dua lelaki menaiki motosikal di hadapan sebuah bank di Bandar Baru Sungai Buloh, 2 Januari lalu.

“Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa bersama anaknya sedang berjalan sebelum dihampiri motosikal dinaiki dua suspek berkenaan yang kemudian meragut rantai emas lalu menolak wanita terbabit mengakibatkannya terjatuh sebelum melarikan diri.

“Ketika suspek melarikan diri, sebuah kereta berada di lokasi melanggar motosikal itu menyebabkan mereka terjatuh, namun sempat melarikan diri. Kejadian itu menyebabkan mangsa luka dan lebam di leher serta tangan selain kerugian RM4,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di Sungai Buloh, semalam.

Shafa’aton berkata, hasil maklumat diterima, pihaknya melakukan empat serbuan berasingan di Taman Melawati, Ampang, Bayan Lepas, Pulau Pinang, Alor Setar, Kedah dan Jalan Dato Keramat, Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan lapan individu pada 7 Januari lalu.

“Mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 32 tahun itu mempunyai peranan masing-masing termasuk orang tengah bagi menjual barang kemas hasil curi serta pemilik kedai emas yang membeli barangan berkenaan.

“Kami turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi, satu jam tangan, dua telefon bimbit dan 17 barang kemas yang dirampas di tiga kedai emas serta kedai pajak gadai, yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000” katanya.

Beliau berkata, kumpulan terbabit aktif melakukan kegiatan itu sejak 2015 dan dipercayai terbabit dalam 70 kes samun di sekitar daerah ini, Petaling Jaya, Gombak Ampang, Sentul dan Wangsa Maju.

“Modus operandi kumpulan ini adalah mensasarkan pejalan kaki terutama wanita dengan menggunakan dua motosikal dan akan menjual hasil samun di kedai pajak gadai.

“Semakan mendapati enam daripada lapan suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah dan dadah. Semua suspek direman sehingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 1:58 PM