Omar memeriksa kawalan kehormat sempena lawatan kerja ke IPD Penampang hari ini. Foto Juwan Riduan
Omar memeriksa kawalan kehormat sempena lawatan kerja ke IPD Penampang hari ini. Foto Juwan Riduan
Juwan Riduan

POLIS tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menimbulkan kekecohan ketika Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Aman Pas Sementara Sabah (PSS) esok.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya akan menempatkan anggota di kawasan himpunan dan membuat penugasan minima bagi mengelak timbulnya sebarang perbuatan yang boleh mengganggu keselamatan di kawasan

itu.

"Polis akan buat penugasan minima kecuali menerima maklumat yang wujudnya ancaman dan tindakan agresif hingga boleh mengancam keselamatan orang ramai, polis akan tingkatkan kawalan keselamatan.

"Orang ramai atau pihak penganjur yang hadir perhimpunan itu diingatkan supaya mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan.

"Jangan sesekali melakukan provokasi hingga mendatangkan kekecohan dan pergaduhan. Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang hari ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Sementara itu, kewujudan satu akaun di Facebook yang meminta pendatang asing tanpa izin (PATI) membuat kecoh ketika Himpunan Solidariti Rakyat Bantahan Aman PSS di Membakut esok, Omar berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu namun polis akan menyiasat.

"Kita akan siasat benda ini dan kita nilai semula... jika betul, kita akan tingkatkan kawalan kerana yang penting adalah keselamatan orang awam di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, setakat ini Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis berjalan lancar dan tiada insiden serius berlaku yang boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan berkenaan," katanya.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon WARISAN Datuk Karim Bujang dan calon BN Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 2:09 PM