X
Mohamad (kiri) bersalaman dengan Karim ketika sama-sama turun berkempen di Tamu Pekan Membakut sebelum ini. Foto Khairull Azry Bidin
Mohamad (kiri) bersalaman dengan Karim ketika sama-sama turun berkempen di Tamu Pekan Membakut sebelum ini. Foto Khairull Azry Bidin
Mohd Izham Unnip Abdullah

CALON Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Karim Bujang menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis kali ini sebagai paling meriah berikutan kehadiran ramai pemimpin termasuk dari luar untuk berkempen.

Menurutnya, keadaan itu menggambarkan seolah-olah PRK Kimanis lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) kerana ia menjadi tumpuan bukan saja penduduk sekitar Kimanis, malah dari seluruh negara.

“PRK ini lebih besar daripada PRU dan itu menyebabkan saya berasa susah hati kerana ramai kawan datang, tidak terlayan semua, jadi kasihan pula,” katanya di majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat anjuran Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) di Membakut semalam.

Karim berkata, kemeriahan lebih dirasai dalam PRK Kimanis berikutan pertembungan satu lawan satu di antara beliau dengan calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO Datuk Mohamad Alamin.

Beliau turut meyakinkan penyokongnya bahawa PRK Kimanis tidak seperti PRK Tanjung Piai di Johor pada November lalu yang menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) kalah kepada calon BN daripada MCA.

“Ramai yang risau PH kalah lagi, macam di Tanjung Piai. Saya kata ini bukan tanjung, ini negeri, kita lebih besar,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapannya agar WARISAN mampu memperoleh kemenangan besar sama seperti diperoleh Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee yang berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti lebih tinggi ketika PRK Sandakan pada Mei lalu.

Jelasnya, beliau sendiri ikut berkempen untuk DAP di Sandakan meminta pengundi Bumiputera di sana untuk mengundi calon DAP yang mewakili PH.

“Ada yang menangis kerana kata mereka sebelum ini tidak pernah mengundi DAP tetapi pada PRK Sandakan Mei lalu, mereka undi DAP sehingga Vivian mendapat majoriti lebih tinggi,” katanya.

PRK Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Shir Yee yang juga anak mendiang Tien Fatt mendapat 16,012 undi dengan majoriti 11,521 undi mengalahkan empat pencabar lain.

Pada majlis itu, Karim yang sebelum ini pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, turut meyakini sokongan masyarakat Bumiputera bukan Islam, khususnya Kadazandusun yang menjadi pengundi kedua terbanyak selepas Bumiputera Islam.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 4:03 PM